Jumat, 24 April 2009

HIKMAH DI SEBALIK 7 AYAT DALAM AL FATEHAH



Al Fatehah ada tujuh ayat. Kalau kita lihat, tujuh ayat dalam Al Fatehah itu
dirangkapkan dua ayat, dua ayat. Ia seolah-olah berbentuk sajak. Hujungnya
disamakan iaitu sama ada huruf mim atau huruf nun di akhir setiap ayat. Ada
ayat yang berakhir dengan 'mim' dan ada ayat yang akhirnya dengan 'nun'.
Ayatnya seolah-olah bahagian akhirnya dipasang-pasangkan.

Sebenarnya dalam jumlah ayat Al Fatehah yang tujuh ini, ada hikmah yang
besar. Secara isyarat, ia ada hubungan dengan manusia dan dengan ciptaan
Tuhan. Antaranya ialah:

1. Tujuh ayat menggambarkan tujuh hari dalam seminggu

Dalam tujuh hari itulah sama ada manusia hendak jadi jahat atau jadi baik,
dapat rahmat atau dapat laknat, dapat bahagia atau celaka, jadi kafir atau
jadi mukmin, kaya atau susah, sakit atau sihat. Apakah ada hari yang lain
selain daripada tujuh hari itu (yakni Ahad hingga Sabtu)? Tentu tidak.
Ertinya dalam masa seminggu, kalau seseorang itu benar-benar menghayati Al
Quran; yang intipatinya ada dalam tujuh ayat Fatehah itu, sehingga ia
benar-benar berperanan dalam hidupnya, maka dalam seminggu itu dia boleh
selamat. Kalau Fatehah tidak berperanan pada dirinya dalam seminggu, maka
akan kena laknatlah dia. Huru-hara, haru-biru dan celakalah hidupnya.

2. Tujuh ayat berkait dengan tujuh anggota badan

Dalam seminggu itu sama ada manusia jadi baik atau buruk, ditentukan oleh
anggota yang tujuh. Sebab itu dalam sembahyang; yang mana sembahyang itu
adalah rukun Islam yang kedua; kesemua tujuh anggota ini terlibat atau
digunakan. Kalau agama lain, mereka menyembah Tuhan tidak melibatkan semua
anggota. Sebaliknya dalam ajaran Islam, semua anggota terlibat untuk tunduk
dan patuh kepada Tuhan.

Ketujuh-tujuh anggota itu ialah:

a. Kepala - ini termasuklah anggota-anggota yang ada di kepala seperti mata,
mulut, telinga, lidah dan lain-lain. Kegunaan kepala pula ada bermacam-macam
jenis.
b. Dua tangan - ia juga banyak peranannya. Ia boleh berbuat baik atau
berbuat jahat, boleh bunuh orang, boleh selamatkan atau celakakan orang.
c. Kedua-dua lutut
d. Kedua-dua tapak kaki

Dalam sembahyang, anggota-anggota sujud itu merupakan tujuh anggota penting
tubuh manusia. Semuanya terlibat dalam solat. Dalam doa Iftitah kita
menyebut, "Hidupku dan matiku adalah untuk Allah." Ertinya semua anggota
yang penting dalam diri kita ini secara tidak langsung sudah kita ikrarkan
bahawa kita serahkan pada Allah. Ertinya kita akan menggunakannya ke jalan
Allah sebagaimana yang Allah kehendaki. Oleh itu kalau kita sedari dan
hayati, apa yang disebut dalam bacaan melibatkan juga anggota dalam
perbuatan.

3. Tujuh ayat berkait dengan tujuh Neraka dan tujuh Syurga

Al Fatehah ada tujuh ayat. Kalau intipati Quran dapat dihayati atau tidak
dapat dihayati, itu yang akan menentukan nasib seseorang nanti sama ada
Neraka yang tujuh atau Syurga yang tujuh. Semua ditentukan oleh intipati Al
Fatehah. Kalau Al Fatehah berperanan dalam hidupnya, dia akan dapat salah
satu dari tujuh peringkat Syurga. Kalau tidak dapat dihayati dan tidak dapat
dijadikan amalan hidup, dia akan masuk salah satu dari tujuh peringkat
Neraka.

4. Tujuh ayat itu juga menggambarkan di dunia ini ada tujuh lapis langit dan
tujuh lapis bumi
Di langit ada macam-macam makhluk Tuhan yang ada hubungan dengan kehidupan
manusia. Demikian juga dengan tujuh lapis bumi yang ada hubungan dengan
kehidupan manusia. Ramai ahli sains yang membuat kajian sudah mengesahkannya
tetapi ia setakat hubungan yang lahir.

Sebenarnya ia bukan sekadar hubungan yang lahir sahaja. Manusia bukan hanya
berhubung dengan matahari, bulan dan bintang sahaja. Tidak juga hanya
berhubungan dengan isi bumi, lautan, hutan, binatang, tanaman dan
seumpamanya. Bahkan manusia juga berhubung rapat dengan makhluk yang ghaib
seperti malaikat.

Malaikat juga menentukan hidup manusia. Kenapa? Sebab ia juga tumpang
mendoakan manusia pada Tuhan dan ia juga boleh tumpang melaknat manusia.
Tetapi hal yang ghaib ini ahli sains tidak dapat kesan. Mereka hanya mampu
kesan yang lahir seperti hubungan matahari dengan manusia, hubungan bulan,
pasang surut air laut, bintang-bintang dengan kehidupan manusia. Tentang
malaikat, mereka tidak tahu.
Padahal malaikat ikut campur tangan dalam menentukan keselamatan manusia.
Mereka juga mendoakan dan memberi berkat dengan izin Tuhan. Mereka juga
melaknat manusia dengan izin Tuhan kerana kederhakaan manusia. Perkara yang
ghaib ini ahli rohani sahaja yang boleh kesan tetapi saintis tidak boleh
kesan.

Selain malaikat, jin-jin juga ada hubungan dengan hidup manusia. Ini tidak
dapat dikesan oleh ahli sains, tetapi boleh dikesan oleh ahli-ahli rohani.
Apa maksud jin-jin juga terlibat? Jin itu hidupnya ditumpangkan dengan
manusia. Dia bergaul dengan manusia. Oleh sebab itu, apa bahasa manusia
itulah bahasa jin. Kalau di Malaysia menggunakan bahasa Melayu, jin pun
bercakap dalam bahasa Melayu. Di Indonesia, jin bercakap bahasa Indonesia.
Kalaulah di Malaysia ada jin yang berbahasa Indonesia, bermakna jin itu
berasal dari Indonesia. Jin di negara Arab berbahasa Arab. Jadi jin tumpang
bahasa manusia itu untuk menunjukkan manusia lebih mulia dari jin.

Selain itu, jin juga tumpang belajar dengan manusia. Firman Allah di dalam
Al Quran:
Maksudnya: *"Dan (ingatlah) ketika Kami hadapkan serombongan jin kepadamu
yang mendengarkan Al Quran, maka tatkala mereka menghadiri pembacaan (nya)
lalu mereka berkata, 'Diamlah kamu (untuk mendengarkannya) .' Ketika
pembacaan itu selesai mereka kembali kepada kaumnya (untuk) memberi
peringatan." *(Al Ahqaf: 29)

Mujurlah kita tidak nampak jin sebab kita tidak akan sanggup hendak
melihatnya. Begitu juga soal makan. Jin kafir makan tulang-tulang haiwan
yang disembelih oleh orang kafir. Jin Islam pula tumpang makan tulang-tulang
binatang yang disembelih oleh orang Islam. Oleh sebab itu berhati-hatilah
apabila membuang tulang. Buanglah pada tempatnya. Kalau tulang-tulang itu
dibiarkan bersepah, jika ada jin yang datang untuk makan lalu terlanggar
anak kita maka akan timbul masalah.

5. Tujuh ayat ini kalau kita jadikan panduan, ia boleh didik nafsu kita yang
tujuh peringkat.
Inilah hikmah terpenting dari jumlah ayat Al Fatehah yang tujuh itu. Makin
kita hayati, makin kita dapat mendidik diri dan nafsu kita. Bila
dikategorikan, nafsu manusia ada tujuh peringkat iaitu:
i. Nafsu ammarah
ii. Nafsu lawwamah
iii. Nafsu mulhamah
iv. Nafsu mutmainnah
v. Nafsu radhiah
vi. Nafsu mardhiah
vii. Nafsu kamilah

Isi Al Quran itu terkandung dalam Al Fatehah yang terdiri dari tujuh ayat.
Nafsu ada tujuh peringkat dan ayat Al Fatehah juga ada tujuh. Itu bukan
kebetulan. Hikmahnya adalah, kalau Al Fatehah ini dihayati, nafsu boleh
menjadi baik. Nafsu itulah yang menentukan celaka atau bahagia, patuh atau
tidak patuhnya kita pada Tuhan. Paling-paling lemah, Al Fatehah atau isi Al
Quran ini dapat mendidik nafsu sampai ke peringkat mulhamah. Walaupun nafsu
mulhamah ini masih belum mantap, masih goyang tapi itu pun dikira sudah
baik. Itulah nafsu orang soleh. Manakala mutmainnah pula, ia peringkat nafsu
yang sudah istiqamah, sudah tetap serta tidak mudah goyang.

Di sini juga dapat kita faham bahawa manusia akan bermula dengan nafsu yang
paling jahat kepada nafsu yang paling baik kalau dia benar-benar
mengendalikan nafsunya itu. Kalaulah manusia menghabiskan banyak masanya
untuk mempelajari hal-hal yang berkaitan dengan nafsu dan mempraktikkannya,
sesungguhnya manusia akan mampu meningkatkan dirinya dari tahap ke tahap.
Dia akan dapat meningkatkan dirinya daripada bernafsu ammarah kepada
lawwamah, mulhamah, mutmainnah dan paling tinggi akan sampai kepada
mardhiah. Namun ada di kalangan manusia yang mampu sampai kepada nafsu
kamilah; nafsu yang paling atas; iaitu para nabi dan rasul. Manusia biasa
boleh menjangkau sampai nafsu mardhiah sahaja kalau dia sangat berusaha
mengendalikan nafsunya.

Cara untuk kita mengendalikan nafsu hingga sampai ke taraf malaikat, itu
semua mesti dirujuk kepada Al Quran. Ia tidak boleh dirujuk kepada ilmu
jenis lain. Siapa yang boleh menguasai Al Quran sepenuhnya dan mempraktikkan
Al Quran terhadap nafsunya, maka dia akan merasai bagaimana dia merangkak
beralih dari satu tahap ke satu tahap. Hebatnya Allah kerana menciptakan
dalam diri manusia, satu nafsu yang tidak boleh dilihat tetapi memang
berperanan. Kalau manusia mahu, dia boleh mentadbir nafsunya itu. Tetapi
untuk itu ianya mesti dirujuk kepada Al Quran.

Ayat Al Quran itu terlalu banyak, namun Allah yang Maha Bijak telah meminta
kita memberi tumpuan kepada tujuh ayat sahaja. Kalau kita boleh mengambil
tujuh ayat ini untuk kita kuasai segala kekuatan yang ada di dalamnya maka
kita akan boleh mengendalikan nafsu kita. Yang sebenarnya kalau kita boleh
kuasai tujuh ayat itu, kita boleh sampai ke peringkat ketujuh, yang mana
nafsu itu boleh kita tadbir dan kuasai. Nabi-nabi boleh melakukannya hingga
mereka sampai peringkat ketujuh itu.

Allah yang menciptakan nafsu itu tujuh peringkat, tahu untuk memadankannya
dengan tujuh ayat dari surah Al Fatehah itu. Allah SWT menetapkan kekuatan
tujuh ayat Al Fatehah itu boleh mengendalikan tujuh peringkat nafsu itu
walaupun sifatnya tidak sama. Namun kita seperti diberi amaran bahawa
kebanyakan manusia tidak akan mampu untuk mengambil seluruh kekuatan Al
Fatehah itu untuk memerangi nafsu sehingga peringkat tertinggi melainkan
setakat mulhamah atau paling tinggi mutmainnah.

Maha Besar Tuhan yang mampu mencipta tujuh ayat yang dengan kekuatannya
mampu berhadapan dengan tujuh peringkat nafsu. Saintis pun tidak pernah
boleh mengesan kehadiran nafsu itu tetapi Allah boleh wujudkannya dan Allah
berkata bahawa Dia membuatnya sebanyak tujuh jenis. Namun orang rohani yang
diberi ilham oleh Allah boleh melihat kekuatan Al Fatehah ini yang dirangkum
dalam tujuh ayat. Rupanya walaupun ilmunya ilham tetapi ia bersifat
falsafah. Iaitu melihat keajaiban ciptaan Tuhan merangkumkan kekuatan 6,666
ayat itu ke dalam tujuh ayat sahaja yang mana ia boleh dipakai untuk
mengendalikan tujuh peringkat nafsu. Ia bukan kebetulan. Seseorang yang
dhaif dalam mengambil tujuh ayat ini maka dia akan dhaif dalam mengendalikan
tujuh tahap nafsu itu.

Jadi di sini kita sudah nampak kebesaran Fatehah padahal baru memperkatakan
kulit atau muqaddimahnya sahaja. Baru di pintu Fatehah, belum masuk ke dalam
tetapi sudah nampak besar isinya. Oleh sebab itulah saya lebih suka
mengatakan Al Fatehah itu 'Surah Yang Dapat Kemenangan' daripada menamakan
ia 'Surah Pembukaan'.

Kalau ulama masyhurkan Al Fatehah itu sebagai Surah Pembukaan kerana ia
diletak di depan Al Quran, itu tidak salah tetapi bagi saya elok
dimasyhurkan sebagai Surah Kemenangan sebab pengertiannya lebih luas. Ini
kerana ia merangkumi semua kehidupan langit dan bumi, yang ghaib dan rohani
seperti Syurga, Neraka, nafsu dan lain-lain. Tuhan sendiri dalam menamakan
surah ini menggunakan isim fi'il - 'yang telah mendapat kemenangan'. Lebih
baik makna ini kita masyhurkan kerana Surah Fatehah itu menentukan seseorang
itu mendapat kemenangan atau tidak sama ada di dunia mahupun di Akhirat.
Agar dengan itu hidup ini dipandang berat dan tidak disia-siakan. Jangan
dianggap semuanya kebetulan. Ia ada hubung kaitnya dengan hidup kita.

Read More......
"Be A Real Moeslem" © 2008 Template by:
SkinCorner